cerita waktu tidur



cerita waktu tidur

kalau mat saleh - bed time story




Sayang Adik Sayang

Hari ini hari minggu. Rina membantu emak memasak. Rina sangat gembira kerana akan mendapat adik baru. Emak dijangka akan bersalin bayi perempuan. Berlainan pula dengan Alif, adik Rina. Dia sudah lama inginkan adik lelaki.
Semasa Rina dan emak sibuk di dapur. Alif bermain seorang diri di halaman rumah. Ayah pula sibuk mengecat kerusi batu. Ayah berpesan kepada Alif agar jangan keluar dari rumah.
Sedang Alif leka bermain, tiba-tiba Alif terdengar bunyi di luar pagar. Alif meluru ke arah pagar tanpa disedari sesiapa.
Setelah siap mengecat, ayah masuk ke rumah untuk mencuci tangan. Rina dan emak juga telah siap memasak. Emak menyuruh Rina memanggil Alif. Rina memanggil-manggil nama Alif tetapi tiada sahutan. Mereka mencari sekeliling rumah. Namun tidak dijumpai. Pak Cik Guna, jiran sebelah keluar apabila terdengar bunyi-bunyi kecoh.
“Pak Cik Guna, ada nampak Alif tak?” tanya Rina.
“Pak cik tidak nampak pula. Mungkin dia pergi ke rumah jiran yang lain. Mari kita cari bersama-sama,” kata Pak Cik Guna.
Namun, jiran-jiran lain juga tidak melihat Alif. Ayah masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta untuk pergi melaporkan kepada pihak polis.
Tiba-tiba kedengaran kucing mengiau dari bilik air. Mereka tidak pernah memelihara kucing. Lalu mereka semua bergegas ke bilik air.
Alangkah terkejutnya mereka melihat Alif sedang memandikan kucing. Rupa-rupanya Alif telah menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap di dalam longkang. Alif begitu leka memandikan anak kucing yang kotor itu sehingga tidak mendengar panggilan mereka.
“Emak, Alif telah mendapat adik lelaki,” kata Alif merujuk kepada anak kucing itu.
Alif memeluk anak kucing itu dengan tersenyum. Mereka semua ketawa.








Comments

Popular posts from this blog

karangan untuk sekolah rendah - Makanan Seimbang

inikah cinta 3