cerita waktu tidur 4
Mulut berbau
Pada masa dahulu, terdapat sebuah negeri didiami raja dan rakyat jelata yang malu untuk bercakap kerana mulut mereka mengeluarkan bau yang sangat busuk.
“Apakah yang musibah yang melanda negeri beta ini?” tanya raja.
Apabila pembesar menghadap raja, masing-masing membisu kerana takut hendak bercakap. Jika mereka bercakap, mulut mereka akan mengeluarkan bau yang busuk.
Pada suatu hari, seperti biasa puteri raja bersama dayang-dayangnya keluar bermain-main di dalam taman larangan. Tiba-tiba seekor burung murai terbang dan hinggap di sepohon bunga. Murai itu berkicau dengan rancak. Ia seolah-olah memberitahu sesuatu kepada tuan puteri.
Murai itu mematuk-matuk bunga yang ada di dahan. Lalu menjatuhkan bunga itu di atas paha tuan puteri. Tuan puteri mengambil bunga itu dan menggigit sedikit bunga kecil itu. Rasanya enak dan mulut tuan puteri seakan segar.
Tanpa membuang masa puteri memetik bunga kecil itu dengan banyak. Kemudian memakannya. Selang beberapa hari dia berbuat begitu, akhirnya muutnya tidak berbau busuk. Malah, mulutnya berbau wangi pula.
Tuan puteri terus menceritakan perihal pokok bunga itu kepada ayahandanya. Kemudian, raja memerintahkan rakyatnya menanam dan memakan bunga pokok itu. Sejak itu penyakit mulut berbau itu hilang. Raja dan rakyat boleh bercakap tanpa berasa bimbang lagi. Akhirnya bunga itu menjadi hasil dagangan negeri tersebut. Bunga itu dikenali dengan nama bunga cengkih. Bunga cengkih turut digunakan dalam masakan.
Comments
Post a Comment